Muhammad Asad – Yahudi yang memeluk Islam

ba_01_big.jpg“IA adalah tentang cinta dan cinta lahir daripada banyak perkara; daripada rasa keinginan dan kesunyian diri, daripada harapan menggunung dan kelemahan, daripada kekuatan dan kekurangan diri. Itulah yang berlaku kepada saya. Islam datang kepada saya umpama mereka yang menceroboh masuk ke rumah pada waktu malam tetapi agama Islam berbeza, ia masuk ke dalam rumah dan menetap secara baik,” itulah perumpamaan Weiss bagi menggambarkan kehadiran Islam dalam dirinya.

Muhammad Asad dilahirkan pada Julai 1900 di bandar Lvov (Jerman Lemberg) yang kini dikenali sebagai Poland. Beliau yang berketurunan daripada ketua agama bangsa Yahudi, yang terputus apabila bapanya menjadi seorang peguam yang berhak untuk berucap dan berdebat di Mahkamah Tinggi.

Weiss pada zaman kecilnya menerima pendidikan keagamaan yang sempurna sekali gus melayakkannya meneruskan tradisi keturunan keluarga. Beliau amat fasih dengan bahasa Ibrani semenjak usia muda serta berpengetahuan dengan Aramaic. Beliau menguasai kitab asli Old Testament serta teks komentari daripada kitab Talmud iaitu Mishna dan Gemara. Malah beliau juga mampu menyelidiki selok-belok tafsiran kritis kitab Bible, Targum.

Keluarga Weiss berpindah ke Vienna, pada usianya 14 tahun. Ketika di sanalah, beliau melarikan diri dari sekolah dan cubaannya untuk menyertai tentera Austrian dalam Perang Dunia Pertama menemui kegagalan. Selepas tamat perang, beliau menyambung pelajaran dalam bidang falsafah dan sejarah kesenian di University of Vienna. Walau bagaimanapun, bidang pilihannya itu tidak memenuhi kepuasan dan dia melepaskannya.

Vienna pada masa itu merupakan sebuah bandar di Eropah yang menjadi pusat kecemerlangan pelbagai bidang ilmu. Pada zaman inilah suara distingtif Sigmund Freud, Alfred Adler dan Ludwig Wittgenstein bergema di seluruh dunia. Berada pada situasi itu, Weiss tidak terlepas peluang mengikuti pelbagai perbincangan menarik, namun dalam keterujaannya itu dengan keaslian ilmu-ilmu mereka, kesimpulan yang dibawa mereka masih tidak memenuhi kepuasannya.

Lantaran itu, Weiss mengambil keputusan meninggalkan Vienna pada 1920 dan mengembara ke tengah Eropah dan sanggup melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup, sebelum sampai ke Berlin. Di Berlin kerjayanya sebagai wartawan bermula. Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan Berlin dan menuju ke Timur Tengah dengan hasrat menziarahi pakciknya di Jerusalem.

Di sinilah titik tolak pengenalannya terhadap agama Islam. Dari situlah beliau mengakui agama Islam membawa kesan ketenangan jiwa dan kekuatan dalaman.

Pada usia 22 tahun, kerjaya Weiss berada di kemuncak apabila beliau dilantik menjadi koresponden sebuah akhbar terkemuka dan berprestij di Jerman dan Eropah iaitu Frankfurter Zeitung. Lumrah tugas seorang wartawan, Weiss banyak bergerak, bercampur gaul dengan rakyat biasa, berdiskusi dengan para intelektual Muslim dan bertemu dengan ketua negara seperti Palestin, Mesir, Transjordan, Syria, Iraq, Iran dan Afghanistan.

Menerusi pengembaraan dan pembacaannya, minat Weiss kepada agama Islam semakin mendalam dan bertambah kuat terutamanya tentang kitab-Nya dan sejarah Islam. Malah, sifat ingin tahu menjadi dorongan untuk beliau terus mengkaji. Pun begitu, beliau masih belum boleh menerima bagaimana yang dikatakan Allah boleh menyampaikan kata-kata-Nya dan memandu manusia menerusi wahyu.

Pengislaman

Kembali ke Berlin beberapa tahun kemudian, Weiss melalui satu pengalaman yang mengubah dirinya secara total menjadi Muhammad Asad. Cerita Weiss, “Suatu hari pada September 1926, Saya dan Elsa berada di dalam kereta api bawah tanah (subway) di Berlin. Kami berada di dalam gerabak kelas pertama. Pandangan saya terpaku kepada seorang lelaki yang berpakaian segak, lagak seorang ahli perniagaan dan orang yang berada. Sayangnya, melihat raut air mukanya, jelas kelihatan yang ada garis kerisauan, keresahan dan pandangan ‘kosong’. Tidak mahu dianggap biadab, saya memalingkan muka ke arah wanita di sebelahnya yang juga tidak kurang hebat. Riak wajahnya serupa dengan lelaki tadi. Saya cuba pula mengalihkan pandangan saya kepada penumpang-penumpang lain, mereka seperti menyembunyikan kesengsaraan, biarpun di sebalik penampilan mewah.

“Saya beritahu Elsa. Dia agak terkejut dan mengakui mempunyai perasaan yang sama. Lalu berkata: “Betullah. Mereka semua seolah-olah sedang mengalami seksaan neraka… Adakah mereka tahu apa yang sedang berlaku kepada mereka?” tanya Elsa.

“Apabila kami sampai di rumah, saya terpandang kitab al-Quran yang berada di atas meja. Sedang saya hendak mengalihkan kitab itu tiba-tiba, mata saya terlihat sepotong ayat yang benar-benar mengembalikan semula insiden yang berlaku sebentar tadi.”

Weiss akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di Berlin dengan memilih nama Muhammad sempena nama junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., manakala Asad pula membawa maksud singa. Beliau juga mengambil beberapa langkah muktamad iaitu; terpaksa menerima hakikat terputusnya hubungan dengan bapanya selepas pengislaman, berkahwin dengan Elsa yang turut memeluk agama Islam, tinggalkan kerjaya kewartawanan dan menunaikan haji.

“Islam umpama sebuah hasil kerja seni bina yang sempurna. Setiap ajaran yang terkandung di dalamnya hadir secara harmoni dalam melengkapkan dan menyokong di antara satu sama lain. Tiada ada yang berlebihan dan berkurangan dan hasilnya adalah sebuah struktur yang benar-benar seimbang dan memberi ketenangan,” kata Asad yang diuji Allah dengan kematian Elsa pada hari ke sembilan mereka di Tanah Suci Mekah.

Asad mengambil keputusan tinggal lebih lama di Arab Saudi dan peluang bertemu dengan Putera Faisal di perpustakaan Masjid Agong serta menemui ayahanda, Raja Abd. al-Aziz Al Sa’ud, pengasas Arab Saudi moden membawa impak positif.

Enam tahun berada di Mekah dan Madinah, Asad mempelajari bahasa Arab, al-Quran dan hadis serta sejarah Islam. Pengajiannya menyakinkan Asad bahawa Islam adalah fenomena spiritual dan sosial meskipun berlaku kelemahan dan keingkaran umat Islamnya.

Asad kembali ke New York pada 1955 dan akhirnya menetap terus di Sepanyol. Beliau tidak berhenti-henti menulis. Pada usia 80 tahun, selepas 17 tahun berjuang, Asad berjaya menyelesaikan kerja-kerja sebagai penterjemah dan melakukan tafsiran kritis al-Quran ke dalam bahasa Inggeris sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari 1992.

Menarik tentang Muhammad Asad

– Memeluk Islam pada 1926 di Berlin.

– Seorang wartawan, pengembara, pengkritik sosial, linguistik, pemikir, reformis, diplomat, ahli teori politik, penterjemah, cendekiawan yang komited dengan kerja-kerja terhadap Allah dan manusia dan mengutamakan kehidupan seorang yang soleh.

– Mula menulis autobiografinya berjudul, Road To Mecca pada 1952, selepas bersara daripada jawatan wakil penuh kerajaan Pakistan di PBB. Buku ini diterbitkan pada 1954.

– Antara 1935 hingga 1938, Asad menerbitkan lima daripada 40 projek di bawah tajuk, Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam.

– Beliau juga menulis buku, The Message of The Quran, sebuah terjemahan dan komentari tentang al-Quran dari sudut pengetahuannya tentang kaliskal Arab dan autoritatif klasikal Arab komentari. Buku ini diperakui sebagai satu yang terbaik terjemahan al-Quran ke bahasa Inggeris sungguhpun ia menerima kritikan.

– Asad juga melakukan terjemahan dan komentari pada Tafsir Sahih Bukhari. Selain itu, beliau juga menulis buku, This Law of Ours dan Islam at the Crossroads.

– Penekanan Asad dan beberapa reformis berkaitan ijtihad adalah hasil yang paling bermakna dalam hayatnya. Ini kerana, beberapa negara Islam dan organisasi antarabangsa telah mewujudkan sebuah badan perundangan untuk mempraktikkan pemikiran yang bebas tentang pelbagai isu seperti pemindahan organ, kejuruteraan genetik, insurans dan faedah percuma perbankan.

– Sewaktu mengembara ke India, Asad bertemu dan bekerjasama dengan Muhamad Iqbal, seorang pensyair-ahli falsafah dan yang mengusulkan idea negara Islam merdeka di India yang kemudiannya menjadi Pakistan.

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s