Fatwa Sekitar Tasawuf

Pertanyaan:

Bilakah lahirnya dan berkembangnya ilmu tasawuf, dan apa
pula keistimewaannya?

Apa alasan orang yang menolaknya dan bagaimana
dalilnya bagi orang yang memujinya?

Jawab:

Masalah tasawuf ini pernah dibahaskan, tetapi ada baiknya untuk
diulang kembali, sebab masalah ini amat penting untuk
menyatakan sesuatu hakikat dan kebenaran yang hilang di tengah-tengah
orang yang mencela dan orang yang memuji tasawuf tersebut secara
menyeluruh.

Dengan penjelasan yang lebih luas ini, sekiranya dapat
membuka tabir yang menyelimuti bahagian yang cerah ini,
sebagai teladan bagi orang yang hendak meninjau ke arah itu,
misalnya ahli suluk yang berjalan ke arah Allah.

Pada zaman para sahabat Nabi saw, kaum Muslimin serta
pengikutnya mempelajari tasawuf, agama Islam, dan hukum-hakam
Islam secara keseluruhan, tanpa kecuali.

Tidak ada satu bahagian pun yang tidak dipelajari dan
Dipraktikkan/diamalkan, baik lahir mahupun batin; urusan dunia mahupun
akhirat; masalah peribadi mahupun kemasyarakatan, bahkan
masalah yang ada hubungannya dengan penggunaan akal,
perkembangan jiwa, dan jasmani – masing-masing mendapat perhatian sewajarnya.
Timbulnya perubahan dan adanya kesulitan dalam kehidupan
baru yang dihadap masyarakat Islam adalah ekoran pengaruh yang
ditimbulkan dari dalam dan yang datang peradaban luar. Dan juga adanya
bangsa-bangsa yang berbeza faham dan aliran dalam
masyarakat yang semakin hari kian bertambah besar.

Dalam hal ini, terdapat orang yang perhatiannya
dibatasi pada bahagian akal, iaitu Ahlulkalam, Mu’tazilah. Ada
pula yang perhatiannya dibatasi pada bahagian lahirnya (luarnya)
atau hukum-hukumnya saja, iaitu ahli fiqh. Ada pula
orang-orang yang perhatiannya pada material dan berfoya-foya,
misalnya orang-orang kaya, dan sebagainya.

Maka, pada saat itu, timbullah orang-orang sufi yang
perhatiannya terbatas pada bahagian ubudiah saja, terutama
pada bahagian peningkatan dan penghayatan jiwa untuk
mendapatkan keredaan (ridha) Allah dan keselamatan daripada
kemurkaan-Nya. Demi mencapai cita-cita tersebut, maka
diharuskan zuhud atau hidup bersederhana dan mengurangi hawa
nafsu. Ini diambil dari pengertian syariat dan takwa kepada
Allah.

Di samping itu, kemudian timbul hal baru, iaitu cinta kepada
Allah (mahabatullah). Sebagaimana Siti Rabi’ah Al-Adawiyah,
Abu Yazid Al-Basthami, dan Sulaiman Ad-Darani. Mereka adalah
tokoh-tokoh sufi. Mereka berpendapat sebagai berikut:

“Bahawa ketaatan dan kewajipan bukan kerana takut
pada neraka, dan bukan keinginan akan syurga dan
kenikmatannya, tetapi demi cintanya kepada Allah
dan mencari keredaan-Nya, supaya dekat
dengan-Nya.”

Dalam syairnya, Siti Rabi’ah Al-Adawiyah telah berkata:

“Semua orang yang menyembah Allah berbuat demikian kerana takut
akan neraka dan ingin menikmati syurga. Kalau aku, aku
tidak demikian. Aku menyembah Allah kerana aku
cinta kepada Allah dan ingin ridhaNya.”

Kemudian pandangan mereka itu berubah, dari pendidikan
akhlak dan latihan jiwa, berubah menjadi fahaman-fahaman baru
tentang Islam, tetapi menyimpang – iaitu falsafah dan yang paling
menonjol ialah Al-Ghaulu bil Hulul wa Wahdatul-Wujud (fahaman
bersatunya hamba dengan Allah – wahdatul wujud).

Fahaman ini juga yang dianuti oleh Al-Hallaj, seorang tokoh
sufi, sehingga dihukum mati tahun 309 H kerana dia berkata,
“Aku adalah Tuhan”

Fahaman Hulul bererti Allah bersemayam di dalam makhluk-Nya,
sama dengan fahaman kaum Nasrani terhadap Isa Al-Masih.

Banyak di kalangan para sufi sendiri yang menolak fahaman
Al-Hallaj itu dan hal ini juga yang menyebabkan kemarahan
para fuqaha (ahli fiqh) khususnya dan kaum Muslimin pada umumnya.

Falsafah ini sangat berbahaya kerana dapat menghilangkan
rasa tanggungjawab dan beranggapan bahawa semua manusia
adalah sama, baik yang jahat mahupun yang baik; dan baik yang bertauhid
mahupun yang tidak. Semua makhluk menjadi tempat bagi Tajalli
(kasyaf) Al-Haq, iaitu Allah. Sudah tentu fahaman semacam ini berbahaya.

Dalam keadaan yang demikian, tentu timbul tanggapan yang
bermacam-macam. Ada yang menilai masalah tasawuf tersebut
secara amat fanatik dengan memuji mereka dan menganggap
semua ajarannya itu baik sekali. Ada pula yang mencelanya,
menganggap semua ajaran mereka tidak benar, dan beranggapan
aliran tasawuf itu diambil dari agama Masehi/Kristian, agama Budha,
dan lain-lainnya.

Secara objektif bahawa tasawuf itu dapat dikatakan sebagai
berikut:

“Tasawuf ada dalam Islam dan mempunyai dasar yang
mendalam. Tidak dapat diingkari dan disembunyikan,
dapat dilihat dan dibaca dalam Al-Quran, Sunnah
Rasul saw. dan para sahabatnya yang mempunyai
sifat-sifat zuhud (tidak mahu atau menjauhi
hubudunya), tidak suka hidup mewah, sebagaimana
sikap khalifah Umar r.a, Ali r.a, Abu Darda’,
Salman Al-Farisi, Abu Dzar r.a. dan lainnya.”

Banyak ayat Al-Quran yang menganjurkan agar mawas diri daripada
godaan yang berupa kesenangan atau fitnah dunia.

Tetapi hendaknya selalu bergerak menuju ke jalan yang
diredai oleh Allah swt. dan berlumba-lumba memohon keampunan
Allah swt, syurga-Nya dan takut akan azab neraka.

Dalam Al-Quran dan hadis Nabi saw. juga telah diterangkan
mengenai cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya dan cinta
hamba-Nya kepada Allah. Sebagaimana disebutkan dalam ayat
Al-Quran:

“Adapun orang-orang yang beriman cintanya sangat
besar kepada Allah …” (Q.s. Al-Baqarah: 165).

“… Allah mencintai mereka dan mereka pun
mencintai-Nya …” (Q.s. Al-Maidah: 54).

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang
berjihad di jalan Allah dalam barisan yang teratur
(tidak bercerai-berai) …” (Q.s. Ash-Shaff: 4).

Diterangkan pula dalam Al-Quran dan hadis mengenai masalah
zuhud, tawakal, taubat, syukur, sabar, yakin, takwa,
muraqabah (mawas diri), dan lain-lainnya dari maqam-maqam
yang suci dalam agama.

Tidak ada golongan lain yang memberi perhatian penuh dalam
mentafsirkan, membahas dengan teliti dan terperinci, serta
membahagi soal-soal keutamaan maqam ini selain para sufi.
Merekalah yang paling mahir dan mengetahui tentang penyakit
Jiwa/penyakit hati, sifat-sifatnya dan kekurangan yang ada pada manusia,
mereka ini ahli dalam ilmu pendidikan yang dinamakan Suluk.

Tetapi, tasawuf tidak berhenti hingga di sini saja dalam
peranannya pada masa permulaan, iaitu adanya kemahuan dalam
melaksanakan akhlak yang luhur dan hakikat dari ibadat yang
murni semata untuk Allah swt. Sebagaimana dikatakan oleh
Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauzi, iaitu: “Ilmu tasawuf itu,
kemudian akan meningkat ke bidang makrifat perkenalan,
setelah itu ke arah khasaf ungkapan dan kurnia Allah. Hal
ini diperoleh melalui pembersihan hati nurani.

Akhirnya, dengan ditingkatkannya hal-hal ini, timbullah
penyimpangan, tanpa dirasakan oleh sebahagian ahli sufi.”

Di antara yang tampak dari penyimpangan sebahagian orang-orang
sufi adalah sebagai berikut:

1. Dijadikannya wijid (perasaan) dan ilham sebagai ukuran
untuk dasar pengetahuan dan lain-lain; juga dapat dijadikan
ukuran untuk membezakan antara yang benar dan salah.
Sehingga sebahagian mereka ada yang berkata, “Aku diberi tahu oleh
hati dari Tuhanku (Allah).”

Berbeza dengan ungkapan daripada ahli sunnah bahawa apabila
mereka meriwayatkan ini mereka berkata “daripada si Fulan daripada si Fulan , si Fulan” sampai — “daripada Rasulullah saw.”

2. Dibezakannya antara syariat dan hakikat, antara hukum
Islam dan yang bebas dari hukumnya.

3. Dikuasai oleh fahaman Jabariah dan Salabiah, sehingga dapat
mempengaruhi iman dan akidah mereka, iaitu berfahaman bahawa manusia secara
mutlak dikendalikan oleh Allah (tidak ada ikhtiar). Maka tidak perlu lagi melawan /berusaha/berikhtiar dan selalu bersikap pasif, tidak aktif.

Tidak dihargainya dunia dan perkembangannya. Apa yang ada di
dunia dianggapnya “sampah belaka”, padahal ayat Al-Quran telah
menyatakan:

“… dan janganlah kamu melupakan akan nasibmu
(kebahagiaanmu) dari (kenikmatan) dunia …”
(Q.s. Al-Qashash: 77).

Fikiran dan teori di atas telah tersebar dan dipraktikkan / diamalkan
di mana-mana jua dengan anggapan bahawa dasar dan fahaman sedemikian
adalah sebahagian daripada ajaran Islam, dan ditetapkan oleh Islam, dan ada sebahagiannya pula terutama dari golongan intelektual yang belum mengerti
benar tentang hal itu karena mereka tidak mempelajarinya.

Sekali lagi kita tegaskan bahawa orang sufi dahulu selalu
menyuruh jangan sampai menyimpang dari garis syariat dan
hukum-hukumnya.

Ibnul Qayyim berkata mengenai keterangan daripada tokoh-tokoh
sufi, “Tokoh-tokoh sufi dan guru besar mereka, Al-Junaid bin
Muhammad (297 H.), berkata, ‘Semua jalan tertutup bagi
manusia, kecuali jalan yang dilalui Nabi saw.'”

Al-Junaid pun berkata:

“Barang siapa yang tidak hafal Al-Quran dan
menulis hadis-hadis Nabi saw. maka tidak boleh
dijadikan anutan dan ditiru, kerana ilmu kita
(tasawuf) terikat pada kitab Al-Quran dan
As-Sunnah.”

Abu Khafs berkata:

“Barang siapa yang tidak menimbang amal dan segala
sesuatu dengan timbangan Al-Kitab dan As-Sunnah,
serta tidak menuduh perasaannya (tidak membenarkan
wijidnya), maka mereka itu tidak termasuk
golongan kaum tasawuf.”

Abu Yazid Al-Basthami berkata:

“Janganlah kamu menilai dan tertipu dengan
kekuatan-kekuatan yang luar biasa, tetapi yang
harus dinilai adalah ketaatan dan ketakwaan
seseorang pada agama dan syariat pelaksanaannya.”

Kiranya keterangan yang paling tepat mengenai tasawuf dan
para sufi adalah sebagaimana yang dihuraikan oleh Al-Imam
Ibnu Taimiyah dalam menjawab atas pertanyaan, “Bagaimana
pandangan ahli agama mengenai tasawuf?”

Ibnu Taimiyah memberi jawapan sebagai berikut,

“Pandangan orang dalam masalah tasawuf ada dua,
iaitu:

Sebahagian termasuk ahli fiqh dan ilmu kalam
mencela dan menganggap para sufi itu ahli bid’ah
dan di luar Sunnah Nabi saw.

Sebahagian lagi terlalu berlebih-lebihan dalam
memberikan pujian dan menganggap mereka paling
baik dan sempurna di antara manusia setelah Nabi
saw. Kedua-duanya tidak benar. Yang benar ialah
bahawa mereka ini sedang dalam usaha melakukan
pengabdian kepada Allah, sebagaimana usaha
orang-orang lain untuk mentaati Allah swt. Dalam
keadaan mereka memberi keutamaan, ada yang
cepat sampai dan dekat kepada Allah, orang-orang
ini dinamakan Minal muqarrabiin (orang-orang yang
terdekat dengan Allah), sesuai dengan ijtihadnya;
ada pula yang tahap kekuatan ketaatannya itu sederhana/sedang-sedang
saja. Orang ini termasuk bahagian kanan: Min
ashhaabilyamiin (orang-orang yang berada di antara
kedua sikap tadi).”

Antara golongan itu ada yang salah, ada yang berdosa,
melakukan taubat, ada pula yang tetap tidak bertaubat. Yang
lebih sesat lagi adalah orang-orang yang melakukan kezaliman
dan kemaksiatan, tetapi menganggap dirinya orang-orang sufi.

Masih banyak lagi dari ahli bid’ah dan golongan fasiq yang
menganggap dirinya golongan tasawuf, yang ditolak dan tidak
diakui oleh tokoh-tokoh sufi yang benar dan terkenal.
Sebagaimana Al-Junaid dan lain-lainnya.

(Diadaptasi dari fatwa DR.Yusuf Qardhawi)

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s